minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

SIRI 25 YTDT

Yang Basi Dan Busuk (Bahagian I)

Sandiwara terbaru di akhir tahun 2000, baru sahaja diisytiharkan. Dua menteri kanan kabinet telah melancarkan majlis pembukaan sandiwara itu secara serentak. Di waktu yang sama ketika Dewan Negara usul  Rang Undang-undang  Perbekalan 2001, Senator Dato’ Zainuddin Maidin (Zam) telah  juga merakamkan permulaan sandiwara itu. Fuuh……hebat, hebat….!!!! Mungkin kerana inilah sandiwara terakhir, makanya ramai manusia yang mahu tumpang sekaki melancarkan majlis pembukaannya.

Mahfuz Omar menjadi ‘hero’ bikinan UMNO kerana sebaik keluar daripada Penjara Kajang dia dikaitkan dengan perjuangan orang Palestine menentang Regim Israel. Paklah yang mencetuskan isu ‘intifada’ ini berilham membabitkan Mahfuz setelah melihat ramainya manusia  menyambut kepulangannya. Pangkat ‘hero’ diberikan oleh Mahathir ketika parlimen bersidang, sehinggakan Jamaluddin Jarjis sanggup mencari derma untuk tambang Mahfuz menetap di Palestine.  Tetapi, Zam melihatnya dengan pandangan dari lain arah. Keberanian Mahfuz itu dikaitkan  dengan anasir dalam UMNO yang menjadi punca Melayu berpecah.

Anasir Dalam UMNO ?

Kita mahu merakamkan  ucapan Zam di Dewan Negara itu untuk rujukan generasi akan datang, kerana Zam telah menggunakan pentas Dewan sebagai senator untuk cuba menukar minda orang Melayu dengan berkata bahawa perpecahan antara orang Melayu sekarang bukan berpunca dari PAS tetapi dari dalam UMNO sendiri. Mengikut Zam, perpecahan ini didalangi  anasir-anasir revolusioner yang lebih mengutamakan kuasa dan wang. Mengikut Zam lagi:

  1. Kemenangan PAS pada pemilu November 1999 bukan kerana orang Melayu menerima fahaman agama  orthodoks PAS tetapi adalah kerana ‘sokongan daripada perpecahan dalam UMNO.’
  2. Pas akan mengeksploitasi apa juga isu  yang sesuai sama ada dirancang atau yang tercetus  untuk menghidupkan peristiwa itu bagi mengekalkan sokongan rakyat; 
  3. Adalah mustahil PAS tidak kenal orang yang menagih sokongan darinya dan memberikan bantuan kepadanya adalah bekas anasir revolusioner yang berjaya menyusup ke dalam UMNO;
  4. Anasir ini menjadi kroni UMNO dan menjadi kaya raya. Kemarahan   kepada kepimpinan UMNO bukan kerana ketidakadilan UMNO kepada rakyat  tetapi kerana kehilangan peluang kuasa lebih besar dan kekayaaan lebih tinggi. Kerana itu mereka terpaksa menanggung hutang berjuta kerana kehilangan peluang untuk menjadi lebih besar dan mengeksploitasi negara;
  5. Oleh kerana Mahathir Mohammad ghairah  menyatupadukan Melayu makanya  beliau telah membawa anasir ekstremis agama yang dikatakan akan melumpuhkan golongan revolusioner tetapi ternyata perhitungannya salah. Anasir-anasir itu kembali bersekongkol dengan anasir-anasir ekstremis agama dan memberikan suatu kekuatan baru kepada mereka.
  6. Corak perjuangan orang revolusioner tidak pernah berubah dan jika berjaya, akhirnya rakyat akan menerima malapetaka;
  7. Rakyat perlu melihat taktik politik yang menggunakan demonstrasi demi demonstrasi untuk melahirkan suatu suasana yang sesuai  untuk mencetuskan suatu gerakan revolusi baru. Kebangkitan demonstrasi yang didalangi PAS itu tentunya menarik gerakan revolusi dari luar terutama dari negara Islam tertentu dan tidak mustahil mereka akan memberikan kerjasama dan membantu.
  8. Ketua Pemuda PAS (Mahfuz Omar) sanggup keluar masuk penjara untuk menggambarkan dirinya sebagai syahid dalam perjuangan politik.

Demikianlah pendapat Zam. Kita tidak mahu buat komen banyak dalam  hypothesis. Cuma kita mahu pembaca ingat dulu bahawa Zam menggambarkan ada orang Melayu yang menerima fahaman agama orthodoks PAS. Jelas, Senator Mamak ini  membandingkan agama Islam itu seperti orang barat memberikan klasifikasi terhadap agama Kristian; ada yang orthodoks, ada yang Koptik, ada yang Metodis dan sebagainya.

Konspirasi Golongan Revolusioner dan Reaksioner

Pada September 1999, Zam  menulis satu artikel yang membawa tajuk “Kombinasi Kekuatan Melayu”.  Kita akan taip semula seluruh tulisan ini untuk dirakamkan dan dijadikan perbandingan:

“Beberapa hari menjelang kemerdekaan negara 31 Ogos 1957, Yang Di Pertua PAS, Dr. Burhanuddin Helmi dan pemimpin-pemimpin kiri di negara ini mendakwa kemerdekaan yang akan diterima “setengah masak” dan ada yang mengatakan “kosong” tetapi 42 tahun kemudian kita menyaksikan sebuah negara kecil, Malaysia berdiri bersendirian mempertahankan kemerdekaan ekonominya. Sementara itu satu demi satu negara Asia Tenggara termasuk sebuah negara yang menganggap Malaysia sebagai boneka barat menyembah IMF sebuah agensi penjajahan ekonomi Amerika Syarikat.

“Apa pun diperkatakan orang di dalam dan luar negara tetapi jika pengurusan ekonomi Malaysia begitu buruk, penuh penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dan pembaziran wang rakyat, adalah mustahil Malaysia dapat memencilkan diri daripada serangan ekonomi dari luar ini, mengawal ekonominya dan mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara.

“Di belakang kekuatan ini ialah UMNO yang sekarang dituduh menjalankan dasar nepotisme dan kronisme kerana mewujudkan  beberapa orang jutawan Melayu. Tetapi orang-orang yang cerdik tahu siapakah sebenarnya di belakang  kekuatan ekonomi negara ini dan keupayaan pasaran saham menghadapi kegawatan ekonomi.

“DEB dan dasar penswastaan menunjang kekuatan ini. Wang negara tidak boleh diambil dan terus diberikan kepada Melayu tetapi beberapa  orang professional Melayu diberikan peluang dalam peranan ekonomi yang meminta kesetiaan dan pertanggungjawaban kepada parti, negara dan bangsa. Yang terlihat sebagai “haiwan ekonomi” (economic animals) Melayu hanya Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Halim Saad dan beberapa orang lagi, tetapi ribuan lagi nouveau riche (orang kaya baru ) Melayu dari peringkat  negeri hingga nasional tidak diperkatakan. Bagaimanapun pendedahan senarai kroni tidak lama dahulu telah mengemukakan nama-nama yang terdiri daripada penulis kepada ‘ulama’, ahli UMNO dan bukan ahli UMNO, malah terdapat Melayu dari parti pembangkang.

Kuasa Ekonomi

“Jika kuasa ekonomi Melayu begitu lemah dan kekuatan sepenuh berada di tangan satu kaum sahaja tidak mungkin langkah patriotik untuk mempertahankan serangan ekonomi dari luar akan disokong oleh golongan yang membolot kekayaan sebaliknya mereka pasti akan lari keluar negara dan meninggalkan orang Melayu dalam keadaan terkapar-kapar.

“Tetapi penguasaan politik dan kepintaran ekonomi yang berada di tangan beberapa orang Melayu  menjadi kombinasi kekuatan  yang meyakinkan peniaga dan pemodal bukan Melayu untuk terus berada di negara ini di dalam kegentingan ekonomi. Kepintaran kepimpinan Melayu dan  kepakaran ekonomi  teknokrat Melayu telah dapat menyekat wang  negara daripada melimpah keluar dan mencekik negara ini supaya menyembah kaki orang bukan Melayu. Percubaan Singapura yang angkuh dalam hal ini telah digagalkan.

“Nasionalisme dan patriotisme beberapa kerat ‘billionaire’ Melayu  yang tidak lari dari negara ini dalam kegentingan ekonomi sebaliknya menyumbangkan kepakaran mereka kepada negara, telah memungkinkan kita bertahan dan mendapat perhatian dan penghormatan dunia.

“Suatu masa dahulu majalah mingguan AS, ‘TIME’ menyebut  UMNO sebagai salah sebuah organisasi politik yang terkaya di dunia. Siapakah yang memperkayakan UMNO? Kekayaan UMNO adalah kekayaan orang Melayu. Ramai orang Melayu yang telah  mewah menerusi DEB  dan memiliki saham-saham dalam syarikat gergasi menerusi PNB dan ASN. Arkitek di belakang pemantapan ekonomi UMNO adalah Dr. Mahathir Mohammad.

“Sekarang  beliau menjadi sasaran segala macam  tohmahan, penghinaan dan kempen kebencian. Langkahnya yang terlalu lewat untuk menyelamatkan negara daripada penguasaan golongan ‘revolutionary’ yang memainkan sandiwara agama  dan sentimen agama di dalam UMNO telah menyebabkan krisis politik yang mengakibatkan orang Melayu kehilangan fokus kepada musuh mereka yang sebenar. Anasir-anasir luar dan parti anti-Melayu dalam negara mengambil kesempatan ini menggunakan apa juga cara  termasuk perundangan untuk menimbulkan  prasangka  terhadap kredibiliti kepimpinan UMNO  sebagai sokongan terhadap gerakan menghancurkan ketuanan Melayu.

“Soal Dr. Mahathir  anti ulama, menghina sunnah Nabi, mempertikai janggut  Nabi diperbesarkan  begitu rupa sehingga membutakan mata sesetengah pihak  untuk melihat tindakan-tindakannya menyelamat orang Islam daripada tunduk di kaki Yahudi  dan kafir dalam menyelamatkan negara daripada kehancuran ekonomi dan untuk membolehkan penerusan dasar-dasar kronisme dan nepotisme untuk bumiputera.

“Adakah menghina ulama, jika salah seorang yang ditegur oleh Dr. Mahathir ialah ulama yang pernah mengesahkan dakwaan murid-murid tiga buah sekolah agama di Selangor dalam bulan Oktober 1992 bahawa mereka melihat  gambaran seksaan Allah di langit, ‘mayat dikafankan, mata besar berwarna merah dan lidah panjang dipotong-potong.’ Bagaimanapun akhirnya jabatan Agama Islam Selangor sendiri mendapati pelajar-pelajar itu dipengaruhi oleh guru agama yang terlibat pengajaran misteri, ajaran sesat dan pembinaan sebuah kapal sebagai persiapan menghadapi kiamat. Seorang lagi ialah ulama yang boleh diupah untuk menghalau jin dan syaitan  di bangunan-bangunan termasuk bank-bank.

“Adalah menyedihkan bila ada pihak  yang melihat maruah negara  dan Islam berada dalam tangan ulama seumpama ini sehingga menyeru ke arah kemusnahan  kepimpinan institusi  yang telah membina  kekuatan  bangsa dan agama sehingga dapat membuktikan ketahanan menghadapi manipulasi kuasa besar untuk melemahkan kebangkitan  tamadun Islam di negara ini dengan nilai dan kecanggihan  yang mampu menyaingi pencapaian barat.

“Jika negara kalah dalam menangani  manipulasi  ini, maka taktik dan strategi negara di bawah DEB  yang tidak  sahaja memperkayakan golongan Mahathir dan Anwar tetapi hampir semua anak Melayu di seluruh negara (sekurang-kurangnya  menerima biasiswa) akan terbantut.

“Tidak ada seorang pun pemimpin UMNO daripada Tunku, Razak, Hussein, Dr. Mahathir dan Anwar Ibrahim dapat mendakwa adanya ketelusan dalam pengurusan dasar Hak istimewa Orang Melayu dan DEB kecuali  pemimpin UMNO yang mahu menonjolkan dirinya sebagai nabi dan menunjukkan yang lainnya sebagai syaitan.  Sesiapa  pun pemimpin  Melayu yang menyertai UMNO sama ada dari bekas PAS, ABIM dan lain-lain telah terlibat  dengan budaya keistimewaan, kronisme dan nepotisme UMNO. Adalah amat tidak adil jika kita terpalit dengan lumpur – jika mahu dikatakan lumpur – maka kita menuding tangan kepada orang lain sahaja yang kotor.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir mengakui dalam Kongres Bumiputera Keempat (KEB-4) baru-baru ini  bahawa kerajaan Barisan Nasional memang menjalankan dasar diskriminasi  untuk kepentingan Melayu. Adalah satu hal yang amat menarik, bekas-bekas pemimpin Parti Komunis (PKM) yang lebih 40 tahun dahulu melihat kemerdekaan dari dasar negara yang tidak sama rata, sama rasa itu. Bekas seorang pemimpin wanita PKM,
Shamsiah Pakeh telah menangis di kaca TV3 dalam rancangan ‘Majalah Tiga’ pada 29 Ogos lalu kerana keuzurannya tidak memberikannya kesempatan untuk turut menikmati dan menyaksikan kejayaan negara. 

“Adalah mustahil  dua orang lagi pemimpin Melayu PKM, Abdullah C.D. dan Rashid  Maidin yang turut sama dalam rancangan televisyen  ini mahu mengakui  pengisian  dan erti kemerdekaan setelah berjuang  dengan keganasan untuk menolak sebuah kemerdekaan yang dicapai oleh UMNO dan Tunku Abdul Rahman. Mereka ini nampaknya lebih memahami perjuangan Dr. Mahathir  daripada  beberapa kerat bekas  barisan depan komunis  yang
sekarang ini bersekongkol dengan anasir revolusioner.  Mungkin ini kerana Dr. Mahathir tidak sahaja mengisi kemerdekaan dengan materialisme tetapi juga mengisi jiwa rakyat  dengan kekuatan rohani yang diperlukan untuk pembangunan oral dan jiwa rakyat bagi penapakan yang lebih besar  ke arah bangsa yang bermaruah.

“Pemimpin-pemimpin Singapura satu masa dahulu menganggap Melayu Malaysia  sebagai sakai dan lanun yang tidak tahu menguruskan  negara tetapi pada 31 Ogos  lalu Dr. Mahathir telah mempamerkan Melayu sebagai pelaut yang mengelilingi dunia, penjejak kaki di Antartika, pencapai puncak gunung Himalaya, pengeluar kereta  Proton Saga, pembangun pencakar tertinggi  di dunia, pembangunan sebuah bandar Islam  terindah di dunia dan pembina  sebuah masjid  di bekas tapak perjudian di KLCC. 

“Adalah agak mendukacitakan golongan sosialis yang telah bankrap, yang pernah menjadi barisan depan KM, tidak dapat melihat  jalan yang telah di ambil  oleh Mahathir untuk memerangi kapitalisme yang tidak adil. Berkali-kali Dr. Mahathir menegaskan  kapitalisme bukanlah agama yang ajaran dan amalannya tidak boleh dipinda.

“Mao Tse-tung (Pengerusi Republik Cina), NASIR (Presiden Mesir), Sukarno (Indonesia) dan Nehru (India) gagal dalam cara mereka  menentang ketidakadilan sistem itu. Adalah lebih mustahil  untuk menolaknya kali ini kerana kemaraannya datang dalam bentuk ‘soft power’ tanpa penggunaan senjata. Dr. Mahathir  lebih memahami  sepak terajang  ini kerana beliau juga adalah pengamal ajaran yang sama. Bagaimanapun  Dr. Mahathir  melihat kebenaran Republik Rakyat Cina yang mendahului  reformasi sistem ekonomi komunis  dan menolak hasutan  AS supaya dijalankan serentak dengan  reformasi politik.  Soviet Union hancur  kerana disesatkan oleh ajaran AS itu.

“Sayang kebenaran negara China komunis itu tidak terlihat oleh orang-orang sosialis di negara ini, sebaliknya kerana terpengaruh lakonan seorang pelakon terbaik di pentas politik Malaysia, mereka lebih tertarik dengan reformasi ajaran AS dan terheret  oleh golongan fanatik agama  yang berjuang  menggunakan ketaksuban dan kekolotan untuk terus memperbodohkan pemikiran Melayu dalam menghadapi cabaran globalisasi yang lebih
sofistikated.”

Tulisan Zam ini diterbitkan lebih satu tahun yang lalu. Kita dapat lihat apa yang diucapkannya di Dewan Rakyat pada 11 Disember adalah satu penekanan kepada apa yang ditulisnya itu.

Saya sudah lama menyimpan keratan  akhbar itu tetapi tidak mahu membuat sebarang komen ke atasnya kerana mahu beri Zam keseronokan nikmat pangkat seorang senator. Lagi pun saya mahu melihat apakah Zam akan mengusahakan tugasnya itu untuk kepentingan rakyat jelata, yang sepatutnya, kerana segala gaji dan pangkat yang dinikmati itu adalah hasil  keringat rakyat.  Jelas, Zam tidak ingat semua itu kerana dia memang merupakan penjilat Mahathir, Kelas Satu.

Zam ataupun Zainuddin Maidin adalah satu nama besar dalam dunia kewartawanan Melayu. Pendapat Zam seperti yang banyak kali ditulis dan diucapkannya adalah satu contoh yang baik untuk dijadikan bahan rujukan  kelas indoktrinasi ataupun  syarahan untuk Biro Tata Negara. Malahan, Mahathir pun memang kita kenal selalu menggunakan aliran cakap yang seiras dengan pemikiran Zam. Dengan kata lain, penulisan Zam adalah baik untuk memutar minda Melayu agar terus jumud di alaf baru. Kita dapat lihat apa yang dikatakan gerakan intifadhah  pihak pembangkang itu adalah menepati jalan-fikir Mahathir  yang ditulis oleh Zam sejak lebih satu tahun yang lalu. Alangkah jauhnya rancangan Mahathir itu sehinggakan Paklah dan Najib masih belum lagi sedar akan putar-belit itu.

Zam menulis “Kombinasai Kekuatan Melayu” bertepatan dengan lawatan Mahathir dua hari  ke Sabah pada 17 hb September, 1999. Di waktu itu kegentingan ekonomi semakin lega semula dan Mahathir sedang rancak mengelilingi dunia untuk berucap di pentas dunia di bawah tajuk ‘Cara Malaysia Menyelamatkan Maruah Negara’. Mahathir sedang berlagak sakan ketika itu mencari publisiti kerana  mahu terus berbohong lagi. Itulah penggal tahunnya (penggal terakhir tahun 1999) Mahathir melalak mencemuh bank Dunia kerana “Malaysia mampu bangkit dengan formula sendiri tanpa meminjam daripada Bank Dunia dan dari luar negara.” Apabila seluruh dunia ketiga dikatakan terpesona dengan pendedahan lantang itu, rakyat negara ini terpaksa diam membisu. “Memang pintar Mahathir...!!!!!” begitulah bunyi pujian yang disarankan di kelas BTN dan kelas putar-mind UMNO. Memang Malaysia tidak meminjam daripada Bank Dunia, tetapi Petronas telah mengemis ke seluruh dunia dengan
memberikan premium yang tinggi.

Mahathir menipu lagi di Afrika ketika diadakan Dialog Antarabangsa di sana. Dia menepuk kepak lagi mengenai ekonomi negara yang semakin rancak semula. Ketika itu dia disoal oleh seorang pemberita akhbar: “Kalau anda sudah berjaya memulihkan ekonomi negara apakah anda  akan bersara mengikut janji anda?” Mahathir sudah bersedia dengan jawapannya. Dia tidak mahu bersara  kerana keadaan negara yang belum ‘selamat’ lagi. Dia masih mahu berkuasa kerana Saudara Anwar Ibrahim belum lagi terpenjara mengikut rentak dan ragam yang telah lama dilakarnya. Malahan semasa dia berlegar di negara orang soalan kenapa dia menghenyak bekas timbalannya begitu kejam sekali menjadi satu soalan yang sukar untuk ditepiskannya.

Saudara Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin Melayu yang mempunyai segala kualiti seorang revolusioner dan reaksioner. Zam memang tidak pun menyebut nama itu dalam penulisannya. Tetapi sebahagian besar tulisannya itu adalah dihala kepada Anwar Ibrahim. Sambil itu dia cuba menonjolkan nama besar taukehnya – Mahathir Mohammad yang memang menjadi idolanya sejak lama dulu.

Anwar Ibrahim diajak memasuki UMNO oleh Mahathir dengan usahanya untuk merapatkan barisan orang Melayu dalam UMNO yang dipimpinnya. Anwar masuk dengan ikhlas membawa sekali barisan pejuang  bangsa dan agama dalam ABIM. Bukannya semua yang menyertai UMNO, ada yang masih di luar dan ada yang memasuki PAS. Ketokohan yang ada pada Anwar sebagai pemimpin telah membantu mempopularkan Mahathir dan sekaligus nama Mahathir naik mencanak, sehinggakan orang Melayu UMNO lupa yang dia ini berdarah mamak.  Mahathir terus naik kerana ramai penulis upahannya turut membantu dengan penuh iltizam. Penghulu mereka sudah tentu seorang penulis yang dikenal dengan nama ‘ZAM’.

Kepintaran Anwar untuk menggembeling tenaga dan menangani masalah orang Melayu berlandaskan ajaran Islam menjadi  alat memperkuatkan UMNO walaupun berlaku perpecahan dalam parti itu akhirnya.  Tengku Razaleigh, Rais Yatim, Paklah dan Najib berpaling tadah menyanggah Mahathir. Mereka bernekad menentang dan merangkul pucuk kepimpinan UMNO daripada Mahathir. Tetapi, akhirnya Paklah dan Najib meloncat semula untuk menyokong Mahathir kembali. Tersingkirlah Ku Leigh, sehingga  mendesaknya menubuhkan Parti Semangat 46 untuk beberapa ketika sebelum dia pun masuk semula ke dalam UMNO (Baru) ciptaan Mahathir itu.

Kemasukan Ku Leigh telah didahului oleh beberapa hulubalangnya termasuklah seorang yang berani kencing di batu nisan dan seorang lagi yang suka sangat membakar jambatan. Kemasukan itu yang dirancang untuk merangkul semula Kelantan daripada kerajaan PAS gagal, segagalnya.

Demikianlah berlakunya episod perpecahan orang Melayu dalam UMNO yang merupakan sebahagian daripada peperangan ideologi politik yang lebih mirip kepada peperangan merangkul kuasa ekonomi negara. Mahathir berjaya mempertahankan kuasanya kerana pengaruh oratori Saudara Anwar Ibrahim yang mampu meraih simpati  para penyokongnya.

Sayang seribu kali sayang...Khidmat Anwar Ibrahim dengan penuh setia untuk menonjolkan maruah Mahathir di mercu kekuasaan UMNO dan negara, dibalas dengan satu tindakan yang paling kejam dalam sejarah politik bangsa Melayu.


 -marhaintua-
15.12.2000.


......bersambung......

 

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter